Tuesday, 29 September 2015

FAKTOR FAKTOR KEJATUHAN RENTAP DAN RELEVANNYA DENGAN IBAN KINI

1.   Faktor  kekurangan ilmu pengetahuan.
Daripada segi ilmu pengetahuan, siapalah Rentap dan orang-orangnya jika dibandingkan dengan James Brooke dan para pembantunya. James Brooke yang dilahirkan pada 29 April 1803 di Banares, di India. Ketika itu bapanya sedang berkhidmat dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris. Pada usia dua belas tahun James Brooke telah dihantar bersekolah di England.

Semasa beliau belajar secara kebetulannya pelajaran itu telah diwartakan sebagai satu pengukuran pangkat dalam tentera Bengal bagi tahun 1819.  Selepas tamat pengajian James Brooke juga telah berkhidmat dengan cemerlang dalam Perang Inggeris-Belanda yang pertama dalam dan pada awal tahun 1825, James Brooke telah mendapat cedera parah lalu dihantar pulang ke England.

Begitu juga dengan anak saudara dan penggantinya Charles Brooke;

Charles Anthoni Brooke yang dilahirkan pada 03 Jun 1829, di Berrow Vicarage berdekatan Burnham Somerset, England. Ayahnya The Rev. Francis Charles Johnson dan emaknya Emma Frances, adik perempuan bongsu Sir James Brooke.
Charles merupakan graduan di Crewkeme Grammar School dan mendapat pengajian di Royal Navy pada 18 Januari 1842. Dia berkhidmat di HMS Wolverine dimana dia telah dihantar ke Midshipman pada 1844 dan dipindahkan ke HMS Dido dimana dan ditauliahkan sebagai sub-leftenan pada 1847. Pada tahun 1852 , Charles telah dinaikkan pangkat sebagai leftenan dan  membuat perubahan kerjaya apabila dia menggunakan nama Brooke dan berkhidmat dibawah pakciknya , James dan Rajah Sarawak .

Dengan ilmu dan kebijaksaan merekalah James Brooke dapat memanipulasi orang Iban supaya menyokongnya. Begitu juga dengan orang-orang Iban, kerana kekurangan Ilmulah mereka semakin lama semakin ramai berpaling tadah menyokong James Brooke, bukannya disebabkan kekurangan keberanian.

Namun demikian, adalah mustahil untuk menyamakan ilmu pengetahuan Rentap dengan ilmu yang ada pada orang Iban kini. Lebih dangkal lagi sekira nya kita mengatakan bahawa Rentap dan para pengikutnya tidak berilmu langsung, kerana secara amnya orang-orang Rentap sudah terbukti mahir berperang di laut, sungai atau di darat, seperti dalam petempuran di Kerangan Peris, Nanga Skrang dan Beting Maru serta seperti yang mereka lakukan di Pontianak, Sambas dan Singkawang (1840-an).

Selepas hampir 140 tahun pemergian Rentap, faktor kekurangan ilmu pengetahuan ini masih lagi membelengu sebilangan besar orang Iban sehingga kini. Misalnya, jumlah kemasukan orang Iban ke universiti masih kurang.  Begitu juga dengan orang Iban yang menduduki jawatan-jawatan penting di universiti dan perkhidmatan awam yang lain boleh dihitung dengan jari.

Pada penghujung era kolonial sehingga ke awal kemerdekaan (1963-1970), faktor kekurangan ilmu dalam kalangan orang Iban ini tidak begitu ketara. Hal ini adalah kerana orang Iban merupakan golongan majoriti dan kaum lain yang berilmu masih kurang pada ketika itu. Namun demikian, saya lebih cenderung untuk mengatakan bahawa perlantikan Dato’ Sri Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri pertama lebih kepada disebabkan faktor orang Iban majoriti di negeri ini, bukanya faktor ilmu.
Begitu juga dengan penggantinya Datuk Tawi Sli, kerana faktor kekurangan ilmunya juga, menyebabkan beliau telah dijadikan sebagai batu loncatan sebelum orang lebih berilmu menguasai pemerintahan. Kalau berpaksikan faktor majoriti sudah tentu kuasa masih lagi di tangan kita, tetapi oleh kerana kita kekurangan ilmu, kuasa itu terpaksa kita serahkan kepada orang yang lebih berilmu, walaupun mereka minoriti.
Namun demikian, persoalannya di sini haruskah kita terus menyalahkan orang lain kerana orang kita kekurangan ilmu? Jawapan saya, ringkas TIDAK. Mengapa? kerana ilmu bukannya disimpan oleh orang lain atau pemimpin-pemimpin politik.  Kalau kita tidak menyokong parti-parti politik tertentu kita mungkin tidak mendapat projek jalan raya, bekalan air bersih, bekalan elektrik, atap zink, plywood atau anak ayam (projek rumah panjang beberapa tahun dahulu), tetapi ilmu tetap anak-anak kita boleh dapat dengan adanya sekolah, skim pinjaman buku teks percuma, asrama dan makanan percuma. Walaupun adanya semua ini, namun masih ramai anak-anak kita yang tercicir dan gagal dalam pelajaran sehinggakan jumlah kemasukan orang Iban ke universiti masih kurang.  Begitu juga dengan orang Iban yang menduduki jawatan-jawatan penting di universiti dan perkhidmatan awam yang lain boleh dihitung dengan jari. Adakah hal ini disebabkan sabotaj pihak lain?  Bagaimana orang kita boleh ramai di universiti atau dilantik memegang jawatan tinggi jika sekiranya tidak ada yang layak.  Kalau kita berilmu sudah tentu akan dipandang tinggi oleh orang lain, misalnya Dato Sri Idris Jalla, berderet-deret jawatan menanti beliau kerana ilmunya.
Pengajaran daripada kegagalan Rentap yang ingin saya kongsikan di sini ialah kita mesti mengubah persepsi bahawa kegagalan kita adalah disebabkan oleh orang lain.  Kita tidak boleh terus menyalahkan orang lain, cermin diri sendiri dan berilah pendidikan yang sebaik-baiknya kepada anak-anak kita. Penghalang kita bukanlah orang lain, tetapi diri kita sendiri.  Saya percaya, ramai dalam kalangan kita, mungkin juga termasuk saya sendiri tidak merungut kerana tersalah ‘tikam’ nombor 4D , Tot0 atau Sarawak Turf Club (beratus ringgit) tetapi liat untuk membayar yuran PIBG, ongkos tusyen dan membeli buku untuk anak-anak.
Saya bukanlah nak tunjuk bijak, pandai dan baik, tetapi ingin mengajak kita merenung akan hal ini serta mengambil iktibar daripada kegagalan Rentap.  Selain itu, oleh kerana kekurangan ilmu dasar perjuangan Rentap lemah dan tidak dapat bertahan lama kerana organisasinya tidak tersusun. Sehingga kini tidak tahu siapa pembantu-pembantu Rentap dan siapa pemimpin yang patut menggantikan Rentap sekiranya beliau gugur dalam perjuangan. Oleh sebab, kekurangan ilmu, Rentap dan para pejuangnya hanya menentang ‘ nyabung ati berani’ sahaja.  Lebih malang lagi faktor kekurangan ilmu ini juga turut membawa kepada  masalah kekurangan sumber kewangan, ketiadaan askar terlatih dan senjata yang lebih moden.
2.     Orang Iban tidak bersatu.
Satu lagi faktor penting yang membawa kepada kegagalan Rentap ialah kerana orang Iban telah bukan sahaja berpecah-belah malahan telah bermusuhan sejak sebelum James Brooke datang ke Sarawak. Pada awal kedatangan James Brooke orang Iban terbahagi kepada  kelompok Skrang-Saribas yang saling bermusuhan dengan Iban Undup-Banting -Lingga – Sebuyau (Lundu). Setelah James Brooke mula berkuasa dan bertindak terhadap penentangnya, orang Iban semakin berpecah.  Misalnya Iban Skrang telah terbahagi dua, di mana Iban Ulu Skrang menyokong Rentap dan Iban di hilir Skrang di bawah pimpinan Orang Kaya Gasing, Sandom dan Bulan Genaya menyokong James Brooke.  Begitu juga dengan Iban Saribas, setelah kematian Aji, saudaranya Nanang dan Luyoh telah dieksploit oleh Charles Brooke supaya berpaling tadah.
Iban di Saribas telah berpecah kepada kelompok Bunyau apai Bakir dan adiknya Maoh di hilir Saribas yang menyokong Kerajaan Brooke dan Aji anak OKP Dana Bayang di Hulu Layar yang masih ingin terus menentang Brooke.  Bunyau apai Bakir adalah cucu kepada Unggang Lebor Menoa pemimpin yang menjadi pelopor kebangkitan Iban Layar kira-kira 100 tahun sebelum kedatangan James Brooke. Setelah kematian anak-anak Unggang Luta, Mulok dan Ketit dalam eksepedisi ke Pulau Belitong kuasa Iban Batang Layar beralih ke tangan OKP Dana Bayang di Padeh.  Ironinya, setelah beberapa keturunan cucu-cucu Unggang agak kurang menonjol di Saribas akhirnya berjaya dipujuk oleh James Brooke untuk memihak kepadanya dalam menentang anak-anak Dana Bayang yang diketuai oleh Aji@Saji. Begitu juga dengan Linggir Mali Lebu dan Minggat, pemimpin Iban Paku dan Kalaka yang paling berpengaruh di Kalaka-Saribas walaupun pernah menjadi sekutu Aji dan Rentap dengan rela hati menyerang orang orang Iban di Jaloh (Tembawai Jaloh Alah), kerana mereka sering membekalkan garam kepada orang-orang Rentap di Bukit Sadok.
Perpecahan dalam kalangan orang Iban semakin parah setelah OKP Nanang dan adik-adiknya tunduk kepada kerajaan dan tidak mahu lagi bersama Rentap di Bukit Sadok.  Menurut Edmund Langgu, kejayaan Charles Brooke mengalahkan Rentap dalam ekspedisi Sadok yang Ke-3 1861 adalah kerana Rentap dikhianati oleh Iban Layar kerana dalam dua ekspedisi termasuk kejayaan Charles Brooke 1861 adalah melalui Batang Layar manakala dalam ekspedisi Sadok yang pertama Charles Brooke melalui Batang Skrang. Ironinya, kebangkitan kuasa Iban Layar-Saribas dimulakan oleh Unggang Lebor Menua, tetapi kemudiannya semakin lemah apabila cicit Unggang, Bakir di Hilir Layar memihak kepada James Brooke untuk menhgapuskan anak-anak OKP Dana Bayang di Hulu Layar.  Begitu juga dengan kejatuhan Datuk Stephen Kalong Ningkan dan Parti SNAP juga bermula di Layar.  Dalam hal ini, seperti faktor pertama, kekurangan ilmu, haruskah kita menyalahkan orang lain kerana melakukan dasar ‘pecah dan perintah’ ke atas kita. Mengapa kita boleh dengan sewenang-wenangnya dipecah dan diperintah.  Kalau kita bersatu tidak ada sesiapa yang boleh memecah dan merintah kita.  Kita mudah dipecah dan diperintah adalah kerana kita memang sedia berpecah sehingga ke hari ini.  Lihatlah dalam politik orang Iban berpecah kepada beberapa buah parti politik.  Parti politik Iban yang kuat seperti SNAP dan PBDS boleh dikatakan hanya tinggal nama sahaja.  Siapa yang memecahkan kita dan mengapa mereka boleh berbuat demikian?  Jawapan yang harus kita terima ialah, kerana kita tidak bersatu hati dan mementingkan diri.
Sejak dahulu lagi kita tidak pernah ada pemimpin Iban yang dilihat sebagai pemimpin Iban secara keseluruhannya. Kita pernah ada Stephen Kalong, walaupun beliau Ketua Menteri Sarawak tetapi tetap dilihat sebagai pemimpin Bahagian Kedua. Kita juga ada Tun Jugah, menteri Persekutuan dan Tan Sri Jabu, Celistine Ujang, Dr. James Masing, Dunstant Endawie, Edmund Langgu, Gramong Juna dan Wiliam Mawan yang dilihat hanya mewakili kelompok kawasan masing-masing. Setakat yang saya ketahui pada era moden ini belum pernah muncul pemimpin Iban yang boleh memimpin secara total.  Kalau saya silap tolong betulkan.
Satu sebab, mengapa kita begitu senang dipecah dan diperintah adalah kerana faktor sikap kesetiaan kita kepada pemimpin, terutamanya generasi yang terdahulu daripada kita.  Golongan ini begitu setia kepada pemimpin dan amat jarang kita dengar mereka menemplak pemimpin malah nama-nama seperti Endawie, Langgu, Leo Moggie dan beberapa lagi yang lain masih menjadi idola dan sering disebut-sebut hingga kini.  Daripada konteks perpaduan dan keharmonian, faktor kesetiaan kepada pemimpin ini memang baik tetapi yang menjadi tidak apabila ada pemimpin yang bersikap mengambil kesempatan (orpotunis) dengan kedudukannya.  Hal ini adalah kerana pemimpin seperti ini senang untuk diperalatkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.  Pihak-pihak tersebut hanya perlu mengambil hati pemimpin Iban tertentu dengan menjanjikan jawatan, kontrak dan sebagainya, anta  contoh klasik yang sinonim dengan ini ialah tunduknya pemimpin hilir Skrang seperti OK Gasing, Sandom dan Bulan Genaya.  Apabila pemimpin-pemimpin tersebut menyokong James Brooke, secara langsung para pengikut mereka juga akan turut serta.
Charles Brooke sejak awal-awal lagi sudah dapat membaca sikap kesetiaan kepada pemimpin dalam kalangan orang Iban dengan melantik beberapa orang pemimpin seperti OKP Nanang, Pengarah Ringkai, Penghulu Dalam untuk memegang jawatan tertentu kerana menyedari betapa senangnya mengawal Iban melalui pemimpin mereka. Bagi era moden ini barang kali Peristiwa Ming Court 1987 sangat sesuai dijadika contoh bagaimana pihak tertentu dapat menggunkan faktor kesetiaan kepada pemimpin ini  untuk terus memecah dan memecah-belahkan kita.  Selain itu, para pemimpin Iban sendiri, terutamanya orang politik juga sangat bijak memanipulasi kesetiaan orang kepada pemimpin ini, mereka hanya perlu menjaga hati pemimpin bawahan seperti AJK parti, Penghulu, Tuai Rumah, kaunselor dan JKKK.

PENENTANGAN RENTAP PEJUANG BUMI KENYALANG

Pada 19 Ogos 1844 di Karangan Peris dalam daerah Skrang, Libau RENTAP bersama pasukannya telah ulung kalinya bertempur dengan pasukan Rajah James Brooke dan Captain Keppel daripada Tentera Laut DiRaja Inggeris. Pada pertempuran ini, antara yang terkorban daripada pasukan Brooke ialah Datu Patinggi Ali dan pasukan perisiknya dari Sarawak yang telah mara duluan daripada pasukan utama kecuali hanya seorang yang masih hidup dan seorang Inggeris bernama George Steward.
Selepas pertemburan di Beting Maru, pemerintah Brooke telah membina sebuah kubu di Nanga Skrang dengan tujuan menyekat pergerakan orang-orang Skrang ke arah Batang Lupar dan seterusnya keluar ke Laut China Selatan untuk bekerjasama dengan Linggir "Mali Lebu" dari Paku dan Aji Apai Limba dari Padeh bagi mengamalkan kegiatan mengayau kepala manusia dan membeli barangan keperluan seperti garam atau menetang pemerintahan Brooke di Sarawak pada ketika itu.
Pada awal tahun 1853, Rentap telah mengetuai pasukan orang Iban yang menyerang pasukan Brooke di kubu Nanga Skrang yang diketuai oleh William Brereton. Berlakulah pertempuran yang sengit di antara kedua-dua pihak di Lintang Batang. Semasa pertempuran itu, seorang menantu Rentap bernama Layang telah membunuh Alan Lee denganlembingnya dan Willima Brereton telah tercedera tetap masih dapat melarikan diri. Rentap dengan segera membawa pasukannya pulang ke ulu Sungai Skrang. Walau bagaimanapun, pengikut Brooke kemudiannya telah membinasa dan membakar 20 buah rumah panjang tempat kediaman para pengikut Rentap.
Dengan itu, Rentap terpaksa berundur dan membina tempat kediaman di Sungai Lang iaitu di hulu Sungai Skrang. Semasa mempertahankan kubu ini, pasukan Rentap telah melaung-laungkan semangat perjuangan mereka yang kental iaitu "Agi Bedarah, Agi Ngelaban” yang bermaksud "Selagi masih berdarah, Selagi itulah melawan" dan slogan yang paling terkenal hingga ke hari ini ialah “Agi Idup, Agi Ngelaban” yang bermaksud "Selagi Hidup, Selagi itulah melawan". Ada beberapa orang dari pasukan Brooke yang mara menghampiri kubu Rentap telah ditembak dan terkorban. Namun angkatan Brooke berjaya menyerang rumah panjang Rentap ini pada Ogos 1854 kerana tembakan meriam merobohkan pagar kayu di sekeling rumah mereka dan pasukan Rentap hanya ada bedil kecil sahaja untuk membalas tembakan meriam. Rentap sendiri telah tercedera semasa pertempuran ini. Jadi, Rentap dengan sebilangan pengikut beliau berundur dan membina kubu di sebuah bukit yang bernama Bukit Sadok.
Kubu Bukit Sadok ini sukar untuk ditakluki kerana kedudukannya di atas puncak bukit yang tinggi dan dikelilingi oleh tebing-tebing curam yang sukar untuk didaki. Juga hanya ada satu jalan sempit di atas gaung yang begitu dalam untuk sampai ke kubu Rentap ini. Sekeliling kubu ini diperkuatkan oleh pagar kayu tebelian yang keras dan setebal dua kaki. Rentap juga ada sebatang meriam yang besar untuk mepertahankan kotanya, yang dikenali sebagai "Bujang Timpang Berang". Meriam ini telah dibawa oleh rakan seperjuangannya iaitu Aji Apai Limba yang merupakan anak kepada Orang Kaya Pemancha Dana "Bayang". Aji telah terkorban ditembak oleh pasukan Brooke di Sungai Langit sebelum menyerang Rentap di kubunya di Bukit Sadok.
Kerajaan Brooke telah membuat tiga percubaan untuk menangkap Rentap di Bukit Sadok. Cubaan pertama adalah dalam Jun 1857. Semasa serangan ini, seorang anggota pasukan Brooke yang bernama Abang Aing telah ditembak dan terpaksa dibawa turun ke bawah bukit. Melihat kejadian ini, pasukan Rentap telah menjerit kegembiraan dan memukul gong mereka.
Dalam tahun 1858, pasukan Brooke buat kedua kalinya menyerang kubu Rentap di atas Bukit Sadok tetapi tembakan meriam mereka tidak dapat menembusi pagar kubu Rentap. Jadi, pasukan Rentap telah melaungkan dengan megahnya kepada pasukan Brooke untuk membawa meriam yang lebih besar lagi pada masa akan datang.
Namun pada tahun 1861, barulah serangan pasukan Brooke yang ketiga kalinya berjaya menguasai Bukit Sadok setelah membawa sebuah meriam besar yang dikenali sebagai "Bujang Sadok" untuk menembak dan merobohkan pagar kubu Bukit Sadok. Sebelum pertempuran ini, pasukan Brooke telah menawarkan pengampunan kepada abang-abang arwah Aji yang telah ditembak mati oleh pasukan Brooke di Sungai Langit iaitu Nanang dan Luyoh supaya mereka menyerah diri dan dihukum membayar 40 biji tempayan rusa. Tawaran yang sama dicadangkan kepada Rentap dengan denda 12 biji tempayan, musnahkan kubu Bukit Sadok dan meninggalkan kubu itu dengan segera. Tetapi Rentap menolak tawaran ini walaupun telah diberitahu bahwa pasukan Brooke ada membawa sebuah meriam yang besar kali ketiga ini. Semua wanita dan kanak-kanak telahpun diarahkan untuk meninggalkan kubu tersebut. Semasa pertempuran dengan pasukan Brooke, seorang pengendali meriam Rentap dan beberapa rakannya telah terkorban kerana terkena tembakan meriam pasukan Brooke. Seterusnya, kubu dan rumah tempat kediaman Rentap dan orang-orangnya dibakar oleh pasukan Brooke pada 20 Oktober 1861.
Tetapi Rentap telah berundur ke Bukit Lanjak Entimau yang menjadi punca-punca air Batang Skrang, Lemanak dan Engkari. Kemudian beliau turun ke Ulu Entabai iaitu sebuah sungai cawangan kepada Sungai Kanowit dan Julau di mana beliau membina sebuah kubu di Bukit Stulak. Pada usia tuanya, Rentap dan pengikutnya berpindah ke Bukit Sibauiaitu kawasan yang terletak di Ulu Wak, Pakan. Beberapa tahun kemudian, Rentap meninggal dunia di situ pada usia lebih kurang 70 tahun. Mayat dan keranda Rentap tidak ditanam dalam tanah seperti biasa tetapi diletakkan dalam sebuah pondok sebagai tanda hormat kepada seseorang yang dianggap seorang pahlawan dan bangsawan. Setelah daging mayat beliau telah habis reput, tulang-tulang kerangka beliau telah disimpan di dalam tempayan oleh kerabat keluarga beliau. Inilah tanda pernghormatan yang paling tinggi untuk seseorang yang telah berjasa.
Rentap merupakan pejuang sejati kerana beliau tidak pernah tunduk kepada pemerintahan Brooke sehingga ke akhir hayatnya. Sehingga ke hari ini makam pahlawan Rentap telah di baik pulih oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasanya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1863.

ASAL USUL DAN SEJARAH AWAL RENTAP PEJUANG BUMI KENYALANG





Rentap merupakan seorang pahlawan Dayak (Iban) terkenal dalam sejarah Sarawak. Dia merupakan salah seorang pemimpin penentang kepada pemerintahan Raja Putih James Brooke.Rentap mendapat pengalaman berperang daripada pernyertaannya dalam ekspedisi-ekspedisi perang yang diketuai oleh Orang Kaya Pemamcha Dana "Bayang" terutamanya ke kawasan-kawasan di sekitar muara Batang Kapuas di Kalimantan Barat, Indonesia. Rentap telah dilantik sebagai seorang "ayam sabong" (ketua pahlawan) oleh Dana "Bayang". Sewaktu salah satu expedisi ini, Dana "Bayang" letah memperolehi sebuah meriam besar yang dinamakan "Bujang Timpang Berang" yang dicatatkan tahun 1515 daripada pihak Belanda sementara Rentap telah terkenal dengan keberaniannya melawan dan mengalahkan musuh sebuah perahu dan berjaya merampas sebilah keris berhulukan emas daripada seorang putera diraja.